Friday, February 6, 2009

MPC Bersama Industri




Kuala Terengganu - Perbadanan Produktiviti Malaysia Pejabat Negeri Terengganu mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan majlis MPC Bersama Industri pada 2 Februari 2009 bertempat di Dewan Konvensyen, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu. Tema pada kali ini ialah “Cabaran Menghadapi Daya Saing Ekonomi Global”. Bertepatan dengan keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil, MPC selaku penyedia Latihan bagi Industri di Malaysia memainkan peranan dalam membantu mengurangkan bebanan syarikat dengan menyalurkan informasi bagi mengurangkan risiko gulung tikar di kalangan syarikat-syarikat bumiputera di Terengganu.

MPC bersama Industri ini telah dianjurkan bersama dengan Dewanita Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT). Seramai 120 peserta telah hadir terdiri daripada usahawan-usahawan yang bernaung di bawah DPMMT, usahawan-usahawan dari Persatuan Ibu Tunggal Terengganu, usahawan-usahawan Persatuan Pusat Latihan Kemahiran Terengganu dan agensi kerajaan seperti Yayasan Terengganu, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, MATRADE, MIDA dan SIRIM. Penyertaan ini dibuka juga kepada pensyarah dan pelajar-pelajar Fakulti perniagaan UiTM, Kolej Inforana dan KETENGAH.

Upacara perasmian ini telah disempurnakan oleh Y. Bhg. Dato’ Nik Zainiah Nik Abd Rahman, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia. Antara dif-dif kehormat yang hadir ialah Puan Sabariah Ismail Pengerusi Dewanita DPMMT, Tuan Haji Azmi Razik Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, En. Nik Mustafa Raja Salleh Pengarah MPC Wilayah Pantai Timur dan Puan Noraini Soltan Pengarah Urusan Sipro Plastic Industries Sdn. Bhd.

Majlis MPC Bersama Industri ini telah membuka ruang kepada MPC memperkenalkan aktiviti-aktiviti Peningkatan Produktiviti dan Kualiti anjuran MPC selain menggunakan platform ini memberi ceramah kesedaran kepentingan mengamalkan budaya kerja yang berkualiti bagi meningkatkan prestasi serta daya saing syarikat.

Pada majlis ini, MPC Terengganu juga telah menjemput Puan Noraini Soltan bagi menceritakan tips-tips pengalaman beliau mengharungi kemelesetan pada 1998 yang lalu untuk dikongsi dengan syarikat-syarikat Terengganu. Tips-tips sebegini boleh diaplikasikan oleh syarikat jika berdepan kesan kegawatan yang dijangka berlaku pada 2009.

Selain daripada itu, Puan Shahida Abu Bakar Pengurus Unit Anugerah Kecemerlangan Organisasi menerangkan faedah menyertai program Anugerah anjuran MPC seperti Anugerah Produktiviti (PA), Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kualiti (QMEA) dan anugerah tertinggi iaitu Anugerah Kecemerlangan Industri Perdana Menteri (PMIEA).

Pameran turut diadakan bagi memperkenalkan kursus-kursus yang ditawarkan oleh MPC kepada syarikat-syarikat di Terengganu selain memberi ruang kepada usahawan-usahawan menyertai dan mempromosi produk masing-masing seperti Kolej Inforana, Nirana Foods Sdn. Bhd., Akademi Kecantikan Noori, RBNA Foods Enterprise dan Koleksi Idaman Wanita.

No comments:

Post a Comment